SMHE : Keseimbangan antara Marhalah Ta’rif , Takwin dan Tanfiz

oleh Dr Muhyi Hamed , ahli Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin
Muqaddimah :
Sesungguhnya para pendokong dakwah mengetahui bahawa perjalanan amal dan langkah pelaksanaannya dikira sebagai perkara asasi dan petunjuk utama dakwah Ikhwan Muslimin (IM). Ia juga sebagai penyempurna yang penting bagi manhaj taghyir, iaitu dengan menentukan jalan dan langkah yang sepatutnya dilalui oleh kita sehingga mampu mencapai matlamat dan objektif yang menjadi faktor tertegaknya dakwah IM.
Mungkin ada orang tersalah dalam menentukan  jalan untuk sampai ke matlamat tersebut. Justeru wajiblah dipastikan dari masa ke semasa marhalah-marhalah dan wasilah-wasilahnya yang akan menyampaikannya kepada objektif dan cita-cita yang diharapkan itu. Para pendokong dakwah perlu sentiasa ingat tentang tiga marhalah dakwah yang telah ditentukan oleh Imam Hasan Al-Banna rahimahullah, iaitu: takrif, takwin dan tanfiz.
Seperti katanya rahimahullah:“Adapun tadarruj (beransur-ansur) dan berpegang kepada tarbiah dan kejelasan langkah sepanjang jalan IM kerana disebabkan mereka beriktikad bahawa setiap dakwah tidak boleh tidak mesti ada tiga marhalah: marhalah di’ayah (propaganda), takrif (pengenalan), tabsyir (berita gembira) dengan fikrah, dan berusaha menyampaikannya kepada segenap segmen masyarakat. Kemudian marhalah takwin (pembentukan), pemilihan pengikut, penyediaan tentera, persiapan sof dari kalangan mad’u. Kemudian datang marhalah tanfiz (pelaksanaan), amal dan produktiviti. Kebanyakan marhalah ini biasanya berjalan serentak, selaras dengan kesatuan dakwah serta keutuhan hubungan ketiga-tiga marhalah tersebut. Maka da’ie bertindak menyeru, dalam masa yang sama dia memilih dan mentarbiah, dan dalam masa yang sama juga beramal dan melaksana.” (Risalah Muktamar Khamis)
Nabi Muhammad SAW merupakan da’ie yang sentiasa memberi amaran bagi kaumnya, baginda juga adalah murabbi yang amat bijak serta berupaya menyaring dan memilih para sahabatnya dan mentarbiah serta mempersiapkan mereka. Baginda juga adalah mu’allim dan mahaguru yang sentiasa mengajar perkara berkaitan agama mereka. Baginda juga adalah qaid (ketua) dan mujahid yang sentiasa berusaha  mengangkat martabat agama ini. Di atas manhaj nabawi inilah sahabat-sahabat radhiallahuanhum yang mulia lalui, para tabi’en dan tabi’e at-tabi’en serta para salafu as-soleh ridhwanullah alaihim. Oleh itu wajib bagi para pendokong dakwah meyakini bahawa tadarruj (beransur-ansur) dalam langkah adalah usul dan fiqh kepada amal dakwah IM. Begitu juga menuruti langkah-langkah yang telah dilalui oleh dakwah Islam yang pertama di atas jalan kekasih kita SAW; bermula dari iklan (isytihar) dengan dakwah ini, berjuang di sepanjang jalannya tanpa mengenal erti jemu, memilih jiwa-jiwa yang bersedia dengan dakwah ini, mempersaudarakan sesama mereka, mentamkinkan (memantapkan) iman di hati mereka, kemudian berjuang bermati-matian terus menerus tanpa henti bagi meninggikan kalimah Allah di muka bumi agar agama ini berkuasa di seluruh pelusuk alam sehingga tertegaknya Daulah Islamiyyah yang pertama, kemudian tertegaknya Khilafah Rasyidah, kemudian tersebarnya Hadhorah Islamiyyah Raidah (Peneraju Tamadun Islam) yang merupakan contoh yang menarik alam seluruhnya kepada Islam.
Kefahaman Yang Betul :
Sayugialah bagi pendokong dakwah memahami ketiga-tiga marhalah ini. Ia dalam banyak keadaan berjalan serentak. Marhalah takrif dan di’ayah adalah asas penyebaran fikrah seraya berusaha meyakinkan orang kepadanya. Marhalah takwin dan pemilihan ansar amat penting untuk membentuk sof yang mantap. Marhalah tanfiz merupakan usaha dan proses mengeluarkan hasil adalah perluasan sebenar dan ia adalah hasil yang normal berlaku setelah berlalunya marhalah sebelumnya. Justeru pendokong dakwah tidak seharusnya mengutamakan satu sudut dengan mengabaikan sudut yang lain. Betapa pentingnya perseimbangan ini, kerana bila sudut takrif lemah, ansar (pengikut) tak bertambah, lalu membawa kepada berlakunya kelemahan di sudut tanfiz dan objektif yang diharapkan akan gagal. Bila sudut tarbiah dan takwin lemah, akan lemahlah binaan peribadi dan pembentukannya, akan membawa kepada kelemahan pelaksanaan di sudut takrif, tanfiz, gerak kerja dan penghasilan yang akhirnya membawa kepada lambatnya tamkin (kekuasaan) dan kemenangan. Bila sudut tanfiz lemah, ia akan membawa kepada terlambatnya langkah dan marhalah yang memberi saham untuk tercapainya kemenangan dan tamkin bagi agama Allah. Keadaan yang hampir serupa boleh berlaku bila sudut tanfiz diutamakan berbanding takwin, maka binaan menjadi lemah dan ikatan menjadi rapuh, dan dakwah ini akan terdedah kepada bahaya. Bila sudut takwin diutamakan berbanding takrif dan tanfiz, akan berlaku kemunduran kepada dakwah, pengaruhnya terhadap jiwa manusia yang cinta kepada dakwah ini menjadi lemah. Perlu diketahui bahawa manusia yang ramai sebagai penyokong dakwah penting diberi perhatian kerana mereka adalah ‘kaedah asas’ untuk bergerak ke arah merealisasikan ‘kebangkitan Islam’. Begitu juga bila sudut takrif diutamakan berbanding takwin dan tanfiz membawa kepada berlakunya kelemahan pada fikrah, risalah dan dakwah kerana dakwah pada ketika itu akan berdepan dengan fenomena kurangnya pendokong dan mereka yang sanggup menanggung bebanannya.
Sesungguhnya pelaksanaan yang seimbang antara tiga marhalah dakwah dan tidak memberatkan satu marhalah ke atas marhalah lain amat mustahak diberi perhatian bagi mewujudkan kesempurnaan, kesinambungan dan keserasian yang dituntut antara pelbagai bidang dakwah ini. Alangkah indahnya kalimat-kalimat yang diungkapkan oleh ISHAB khususnya berkenaan keseimbangan yang dituntut, katanya: “Kekanglah emosi yang meluap-luap dengan pandangan akal, terangilah lampu akal dengan api kejiwaan, ikatlah khayalan dengan hakikat dan realiti sebenar, singkapilah hakikat-hakikat itu dalam cahaya khayalan yang berkilauan. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
 “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila Dia menyeru-mu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada-mu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.”
(Surah Al-Anfal: 24)
Dan jangan kamu melawan undang-undang alam, sesungguhnya ia sentiasa menang, akan tetapi berusahalah agar ia dapat kamu gunakan, alihkan arusnya, dan manfaatkan sebahagiannya ke atas sebahagian yang lain, dan tunggulah saat kemenangan, ia sebenarnya tidak jauh.” (Adakah Kita Kaum Yang Bekerja).
Keseimbangan Antara Tiga Marhalah Adalah Penting :
Oleh kerana itu, para pendokong dakwah hendaklah berusaha ke arah mewujudkan perseimbangan di antara ke tiga-tiga marhalah dengan tidak memberatkan yang satu ke atas yang lain atau dengan kata lain tanpa mengurangkan atau mengabaikan yang lain, kerana Allah telah menjadikan alam ini ada undang-undang dan sunnahnya (ketentuannya). Menjadi kewajipan ke atas pendokong dakwah mengikutnya, berusaha memanfaatkan sesetengahnya ke atas setengah yang lain dan jangan sekali-kali bertembung dengannya kerana sesungguhnya ia amat berkuasa. Umat yang berjuang amat berhajat kepada pembinaan jiwa, keutuhan akhlak serta mencerakinkan pengikutnya di atas akhlak kelelakian sebenar sehingga mampu berdiri teguh di tengah-tengah onak duri dan badai ombak yang mengganas.
Sesungguhnya kefardhuan utama dan peranan terpenting yang dikehendaki oleh dakwah IM ialah mentarbiah ummah supaya memiliki jiwa mulia, berakhlak terpuji lagi tinggi, beramal untuk menyuburkan perasaan kelelakian sebenar dalam jiwa ummah sehingga mampu mempertahankan kemuliaannya dan berupaya mengembalikan keagungannya serta pula sanggup menanggung halangan dan kesusahan demi mencapai  matlamat yang diharapkan. Di atas prinsip inilah terbinanya kebangkitan umat dan bangsa. Dan agar terlaksana semua itu, maka para pendokong dakwah dikehendaki menyebarkan fikrah umum ini ke tengah-tengah manusia dengan pelbagai pendekatan nasihat dan tunjuk ajar, memberi khidmat untuk masyarakat awam dengan mendirikan bangunan tertentu untuk dimanfaatkan oleh umum dan sebagainya seperti medium untuk menyampaikan ilmu sebagai saham untuk meningkatkan keiltizaman manusia kepada prinsip, akhlak, nilai-nilai Islam dalam bentuk amali dan pelaksanaan yang akhirnya memberi saham untuk proses membina dan membentuk bagi anasir-anasir soleh yang mampu menanggung bebanan dakwah tanpa syak dan teragak-agak. Semua yang disebut di atas akhirnya akan melahirkan kerja yang berterusan, perjuangan yang
berkesinambungan, jihad yang tidak mengenal erti penat untuk sampai ke destinasi yang dituju.
Sesungguhnya para pendokong dakwah berkemungkinan pada situasi tertentu berhadapan dengan beberapa pemikiran dan dakwah yang bertentangan dengan manhaj Jemaah yang berkat ini, khususnya melalui tiga marhalah yang berjalan secara seimbang, di atas alasan untuk lari dari cubaan dan halangan yang dihadapi oleh dakwah. Para pendokong dakwah hendaklah mengetahui bahawa pemikiran-pemikiran seperti ini tidak akan dapat melakukan pengislahan syumul yang diharapkan. Pengislahan sebenar mesti bermula dari mengislah individunya sendiri terlebih dahulu, kemudian rumahtangga Islam, menunjuk ajar masyarakat kepada ta’alim Islam dan ajaran-ajarannya, kemudian membebaskan tanahair, mengislah kerajaan-kerajaan sehingga memenuhi kehendak Islam sebenar, kemudian mengembalikan entiti antarabangsa umat Islam dan seterusnya menegakkan ustaziyyat al-alam (order baru dunia). Semua objektif-objektif besar ini menuntut para pendokong dakwah bergerak seiring dengan tiga marhalah tanpa mengabaikan keseimbangan kerana kesatuan amal, pertautan antara bahagian dengan bahagian yang lain memberi saham kepada kesinambungan kejayaan amal, kesuburan dan penyebarannya dalam segenap sudut kehidupan.
Para pendokong dakwah hendaklah mengetahui kewajipan-kewajipan asasi yang dituntut daripadanya untuk memastikan wujudnya keseimbangan, kesempurnaan antara tiga marhalah tersebut, antaranya:
Pertama : Marhalah Takrif
 
  1. Memahami serta menguasai prinsip-prinsip Islam dan melaksanakannya secara amali.
  2. Menyediakan mengikut situasi yang sesuai untuk melayakkan prinsip-prinsip, nilaian dan amalan agar dihayati oleh individu masyarakat di semua tempat dan lapisannya.
  3. Menggunakan bahasa yang sesuai untuk menyampaikan mesej dakwah ini agar sesuai dengan masyarakat awam berkenaan kefahaman Islam sebenar dan syumul, tanpa unsur melampau atau jumud bagi menyajikan kefahaman Islam wasati kepada seluruh umat Islam.
  4. Memperbaharui dan kreatif pada wasilah dan teknik yang efektif, berkesan dan sesuai bagi setiap lapisan masyarakat.
  5. Mewujudkan pelbagai takungan untuk menampung mereka yang bersimpati dengan dakwah Islam ini.
  6. Sentiasa berusaha mewujudkan penyelarasan dan kerjasama bersama para pekerja di medan dakwah Islamiah, berusaha ke arah menyatukan potensi berkhidmat untuk Islam.
Kedua : Marhalah Takwin
  1. Menjadi qudwah secara amali untuk mengislah jiwa serta melakukan peningkatan.
  2. Melakukan pemilihan dan penapisan anasir-anasir soleh untuk membawa dakwah ini.
  3. Mempersiapkan dan membentuk murabbi yang berjaya sebagai orang yang memiliki pengalaman dan pengaruh. Murabbi begini mampu untuk melakukan peningkatan, merubah tabiat berpandukan manhaj dan wasilah tertentu.
  4. Menggunakan wasilah dan pelbagai teknik tarbiah ikut kesesuaian dan berkesan untuk semua segmen masyarakat.
  5. Mengupayakan manhaj tarbiah bukan hanya sekadar ilmu dan teori, tetapi dipindahkan ke bentuk praktikal, akhlak dan kemahiran.
  6. Membentuk biah (suasana) tarbawi yang sesuai dan berkesan dalam membina sahsiah serta membentuknya.
Ketiga : Marhalah Tanfiz
  1. Membuat perancangan rapi untuk mencapai objektif dan cita-cita yang diharapkan dalam pelbagai medan dakwah.
  2. Mengagihkan kerja berdasarkan potensi dan pelbagai kelebihan dalam semua aktiviti dakwah.
  3. Mempelbagai dan memperbaharui secara berterusan dalam metode dan mekanisme amal dakwah, sesuai dengan situasi yang dilalui.
  4. Melahirkan qiadah berkesan untuk memimpin dan memandu masyarakat kepada Islam.
  5. Bekerja berterusan tanpa henti atau berundur atau berkendur.
  6. Perjuangan secara aman, usaha yang  berterusan, jihad yang bersungguh untuk merealisasikan cita-cita yang ditetapkan untuk pendokong dakwah ini.

images

Adapun selepas itu.. Maka sesungguhnya perjalanan yang seimbang antara tiga marhalah; takrif, takwin dan tanfiz adalah jalan yang akan membawa terlaksananya objektif-objektif yang diharapkan sekalipun memakan masa yang lama atau dirintangi pelbagai halangan kerana para pendokong dakwah mengetahui bahawa Daulah Islamiyah yang telah menghadapi faktor-faktor kejatuhan berkurun dulu tidak logik dapat dibangunkan dalam masa beberapa tahun. Perjuangan ini perlu kepada kesabaran, thabat dan taqwa kepada Allah SWT seperti firmanNya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beruntung”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: